Penerangan Hukum + Contoh Bacaan dari Sheikh Mishary Rashid Al-Afasy
Contoh Bacaan dari Sheikh Mishary Rashid Al-Afasy

Mad Lin : Bacaan lunak atau lembut dengan intonasi bacaan yang lunak dan lembut.

Dari segi bahasa, Lin bermaksud lembut atau lunak. Ini adalah kerana sukun yang berlaku pada huruf lin tidak tertahan suaranya, tetapi ia dilafazkan dengan tekanan suara yang lembut dan lunak.

Huruf Mad yang terlibat untuk Mad Lin ialah huruf Wau dan Ya sahaja. Huruf wau dan ya mestilah bertanda mati dan sebelumnya berbaris fathah.

Ia hanya dikira sebagai mad lin jika diwakafkan bacaan padanya. Jika diwasalkan ia kekal sebagai huruf Lin sahaja.

LEMBUT/LUNAK

Apabila mewaqafkan bacaan pada kalimah yang terdapat huruf MAD WAU dan MAD YA yang bertanda sukun asli di atasnya dan sebelumnya berbaris atas

Contoh
  • لَا رَيْبَ [Al Baqarah 2]
  • وَبِالْيَوْمِ [ Al Baqarah 8]
  • وَالصَّيْفِ [Quraysh 2]
  • الْبَيْتِ [Quraysh 3]
  • خَوْفٍ [ Qurasyh 4]
Kadar Harakat

Kadar harakat Mad Lin adalah 2, 4 atau 6 harakat kerana ia adalah sebahagian dari Mad ‘Aridh

Penamaan

Dinamakan Mad ini sebagai Lin kerana adanya huruf Lin yang mendahului sukun ‘aridh (sukun yang dibawa datang) pada huruf yang diwaqafkan itu.

Hukum Bacaan

Oleh kerana Mad Lin adalah sebahagian dari Mad ‘Aridh maka pemanjangannya juga adalah sama dengan Mad ‘Aridh iaitu Jaiz atau harus hukum pemanjangannya. Ini kerana mad ini harus dibaca dengan 2, 4 atau 6 harakat di sisi para Qurra’.

Nota Tambahan

Hanya huruf mad wau dan ya sahaja yang terlibat. huruf Alif tidak terlibat.

Pembaca boleh memilih samada ingin mewaqafkan bacaan dengan kadar 2, 4 atau 6 harakat.

Bacaan mestilah lunak / lembut dan tidak keras atau mendatar.