MAD BADAL | مد البدل

Mainkan - Mad Badal

by Jari Tajwid | Hukum Mad

CARA SEBUTAN 

DIPANJANGKAN

DIPANJANGKAN sebutan huruf Mad dengan 2 harakat

CONTOH-CONTOH

  • مِنَ الْأُولَىٰ [ Ad Dhuha 4]
  • إِيلَافِهِمْ [ Quraisy 2]
  • أُوتُوا الْكِتَابَ [Al muddaththir 31]
  • آمَنُوا إِيمَانًا [Al muddaththir 31]
  • وَأُوذُوا حَتَّ [Al An’am 34]

DEFINISI

Dari segi bahasa badal bermaksud tukar, iaitu pertukaran hamzah kepada huruf mad. 

Dari segi istilah Mad Badal bermaksud huruf hamzah yang bertemu huruf mad di dalam satu perkataan. 

KADAR HARAKAT 

Mad Badal dipanjangkan 2 harakat sahaja di sisi Hafs An ‘Asim. 

TANDA 

Tanda Mad Badal dapat dikenal dengan melihat huruf hamzah yang bertemu huruf mad dalam satu perkataan samada di awal, pertengahan atau akhir sesuatu perkataan.

PENAMAAN 

Dinamakan Badal yakni tukar kerana huruf mad yang datang selepas huruf hamzah itu adalah ditukar dari huruf hamzah yang sukun. Ini kerana dari segi tatabahasa Arab, pada asalnya terdapat dua hamzah yang bertemu dalam satu perkataan, hamzah pertama berbaris dan yang kedua sukun. Dengan sebab itu, ditukarkan hamzah kedua menjadi huruf mad berpandukan baris yang ada pada hamzah pertama.

  • Jika hamzah pertama berbaris fathah maka hamzah kedua ditukar kepada alif.
  • Jika hamzah pertama berbaris dhommah maka hamzah kedua ditukar kepada wau.
  • Jika hamzah pertama berbaris kasrah maka hamzah kedua ditukar kepada ya’.

 

Pertukaran ini dibuat kerana sukar melafazkan dua huruf yang sama, dalam keadaan huruf keduanya sukun. walaubagaimanapun, pertukaran itu tidak kelihatan pada tulisan, ia berlaku pada asal hakikat perkataan itu sahaja, kerana itulah Mad Badal itu kelihatan sama bentuk penulisannya dengan Mad Asli.