IQLAB | إقلاب

Mainkan - Iqlab

by Jari Tajwid | Hukum Nun

CARA SEBUTAN

TUKARKAN

Bunyi Huruf Nun Sakinah / Tanwin DITUKARKAN kepada huruf Mim apabila bertemu Huruf Ba beserta dengung (2 Harkat).

 

CONTOH-CONTOH

  • ٱلَّذِینَ مِنۢ بَعۡدِهِم [Al-Baqarah 253]
  • ثُمَّ ٱتَّخَذۡتُمُ ٱلۡعِجۡلَ مِنۢ بَعۡدِهِۦ وَأَنتُمۡ ظَـٰلِمُونَ[Al-Baqarah 92]
  • أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَاۤءَتۡهُمُ[Al-Bayyinah 4]
  • رَجۡمَۢا بِٱلۡغَیۡبِۖ [ Al Kahfi 22]
  • سَمِیعُۢ بَصِیرٌ [ Luqman 28]

DEFINISI 

Iqlab dari segi bahasa bererti tukar. Dari segi istilah pula Iqlab bererti menukarkan sebutan nun sakinah atau tanwin kepada mim dengan menjaga Ikhfa’ dan dengung. 

 

HURUF-HURUF

Huruf Iqlab hanya satu sahaja iaitu; 

  ب

CARA BACAAN 

    Bacaan Iqlab apabila Nun sakinah atau tanwin bertemu dengan huruf ب  , maka hendaklah ditukarkan sebutan Nun kepada suara mim secara Ikhfa’ berserta dengung. Maksud Ikhfa’ (bererti sembunyi) di sini ialah melafazkan sebahagian huruf sahaja dan menyembunyikan sebutan sebenarnya. Sebutan Ikhfa’ di sini dapat dipastikan dengan meringankan sebutan mim dengan tidak merapatkan bibir sepenuhnya.

    TANDA-TANDA 

    Tanda Iqlab adalah apabila Nun sakinah tanpa tanda sukun dan tanwin mempunyai huruf Mim kecil bersama-samanya.

    PENAMAAN 

    Dinamakan Iqlab kerana suara Nun ditukar kepada suara Mim secara ikhfa’. Dibaca Iqlab pada Nun sakinah bertemu dengan  ب  , kerana sukar untuk membacanya secara Izhar atau secara Idgham, walaupun nun dan ba’ itu berlainan makhrajnya dan bersamaan pada kebanyakan sifatnya. Maka cara yang paling hampir ialah melafazkannya dengan cara pertengahan antara izhar dan idgham iaitu ikhfa’.

    Tetapi ikhfa’ yang berlaku pada sebutan Iqlab ini adalah Ikhfa’ Majazi (samar-samar) bukan Haqiqi (benar-benar), kerana yang diikhfa’kan di sini adalah sebutan mim yang bertukar itu, bukan sebutan nun sakinah itu sendiri.

    Huruf pula ditukar kepada Mim kerana Mim mempunyai persamaan dengan ba’ dari segi makhraj dan kebanyakan sifat-sifatnya. Tetapi mim itu dilafazkan sebahagiannya sahaja tanpa merapatkan kedua-dua bibir kerana jika dirapatkan kedua-dua bibir, mim akan dilafazkan dengan sempurna seperti sebutan Idgham Bi La Ghunnah sedangkan Iqlab mestilah ada unsur ikhfa’ (penyembunyian) pada sebutannya.