IKHFA’ SYAFAWI | إخفاء شفوي
Mainkan - Ikhfa' Syafawi
CARA SEBUTAN
DISEMBUNYIKAN/DISAMARKAN
Bunyi Huruf Mim DISEMBUNYIKAN / DISAMARKAN dengan merengangkan bibir ke dalam sebutan huruf Ba dengan dengung (2 harakat).
CONTOH-CONTOH
وَمَا هُم بِخَارِجِينَ [ Al Ma idah 37]
تَقِيكُم بَأْسَكُمْ [ Al Nahl 81]
وَهُم بَدَءُوكُمْ [ At Tawbah 13]
أَنفُسَكُم بِاتِّخَاذِكُمُ [ Al Baqarah 54]
أَنتُم بِمُعْجِزِينَ [ Hud 33]
DEFINISI
Ikhfa’ Syafawi adalah Mim tidak bertanda mati yang bertemu dengan huruf Ba.
Dari segi istilah Ikhfa’ Syafawi bererti menyembunyikan sebutan Mim Sakinah beserta dengung.
HURUF PERTEMUAN
Satu huruf sahaja iaitu:
ب
CARA BACAAN
Bacaan Ikhfa’ Syafawi ialah menyembunyikan atau menyamarkan sebutan Mim Sakinah iaitu dengan melafazkan sebahagian hurufnya sahaja.
Cara bacaan Ikhfa Syafawi sama seperti cara bacaan Iqlab pada hukum nun sakinah iaitu dengan meringankan bibir semasa menyebut mim sukun, iaitu dengan tidak merapatkan bibir sepenuhnya. Ini supaya bunyi mim tidak dilafazkan dengan sempurna (disembunyikan) dan dilepaskan udara ke pangkal hidung untuk mengeluarkan suara dengung.
TANDA-TANDA
Ikhfa’ Syafawi bagi Mim Sakinah ini dapat dikenal dengan melihat Mim Sakinah itu yang tidak mempunyai sebarang tanda di atasnya dan diikuti pula dengan huruf ب berbaris yang datang selepasnya.
PENAMAAN
Hukum ini dinamakan Ikhfa’ kerana huruf mim sakinah yang disembunyikan sebutannya. Dinamakan Syafawi kerana kedua-dua huruf ini keluar dari makhraj bibir.
Huruf م dibaca secara Ikhfa’ apabila bertemu ب kerana kedua-dua huruf ini adalah sama pada makhraj iaitu makhraj bibir (Syafawi) dan sama pada kebanyakan sifat. Di samping itu, sukar untuk melafazkan hukum ini secara Izhar semata-mata atau Idgham semata-mata. Maka, hukum yang paling tepat baginya ialah Ikhfa’, iaitu sebutan pertengahan antara izhar dan idgham.