IKHFA’ HAKIKI | إخفاء حقيقي

Mainkan - Ikhfa'Hakiki

by Jari Tajwid | Hukum Nun

CARA SEBUTAN

SEMBUNYIKAN/SAMARKAN

SEMBUNYIKAN/SAMARKAN sebutan huruf Nun Sakinah/Tanwen

CONTOH-CONTOH

  • بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ [ Al Baqarah 4]
  • شَيْءٌ فِي [ Ali Imran 5]
  • حُوبًا كَبِيرًا [ An Nisa 2]
  • صَعِيدًا طَيِّبًا [Al Maidah 6]
  • لِتُنذِرَ بِهِ [ Al A’raf 2]

DEFINISI

Ikhfa’ haqiqi dari segi bahasa bererti sembunyi. Hakiki bererti berlaku dengan sebenar-benarnya. Dari segi istilah pula Ikhfa’ bermaksud membuat sebutan pertengahan di antara sebutan Izhar dan sebutan Idgham berserta dengung. 

HURUF-HURUF 

Huruf Ikhfa adalah seperti berikut: 

Apabila Nun TIDAK BERTANDA MATI atau TANWIN TIDAK SELARI bertemu 15 huruf

ت ث ج د ذ ز س ش ص ض ط ظ ف ق ك

CARA BACAAN 

Ikhfa’ adalah sebutan pertengahan di antara Izhar (jelas) dan Idgham (gabung). Apabila nun sakinah atau tanwin bertemu 15 huruf Ikhfa’, maka hendaklah didengungkan nun tanpa menzahirkannya (izhar) atau menggabungkannya (idgham) dengan huruf selepasnya. 

PENAMAAN 

Hukum ini dinamakan Ikhfa’ Haqiqi kerana Ikhfa’ yang berlaku pada nun sakinah dan tanwin di sini berlaku dengan sebenar-benarnya berbandingn dengan Ikhfa’ Majazi (tidak sebenar) pada Ikhfa’ Syafawi dan Iqlab.

Alasan membaca ikhfa’ pada huruf-huruf ini adalah kerana tiada kaitan antara nun sukun dengan 15 huruf tersebut pada makhraj dan sifat, yang membolehkan ia dibaca secara idgham. Huruf-huruf tersebut tidak juga berjauhan dengan Nun sukun pada makhraj dan sifat yang membolehkan ia dibaca secara izhar. Maka sudah tentu cara pertengahan adalah ikhfa’ iaitu penyembunyian sebutan Nun sukun dengan tidak melafazkannya dengan sempurna.

TANDA-TANDA 

Nun Sakinah bagi ikhfa’ tidak mempunyai sebarang tanda di atasnya dan tanda tanwinnya tidak selari. 

 

NOTA TAMBAHAN 

  1. Hendaklah dipastikan tiada sebarang unsur idgham (gabungan huruf) pada sebutan dan jangan dipanjangkan sebutan Nun sakinah tersebut.
  2. Lafaz ikhfa’ yang fasih akan menghasilkan bunyi dengung yang berbeza mengikut makhraj huruf yang berikutnya dan pendengar dapat mengetahui apakah huruf yang bakal disebut.