Penerangan Hukum + Contoh Bacaan dari Sheikh Mishary Rashid Al-Afasy
Contoh Bacaan dari Sheikh Mishary Rashid Al-Afasy

Perkataan Munfasil dari segi bahasa bermaksud tercerai atau terpisah iaitu tercerai dalam dua perkataan. Dari segi istilah pula Mad Munfasil bermaksud huruf mad bertemu dengan hamzah pada dua perkataan yang berlainan.

Mad Munfasil boleh dikenal dengan melihat huruf mad yang diikuti dengan hamzah selepasnya dan mempunyai tanda panjang di atasnya. Tetapi untuk memastikan huruf mad itu bertemu hamzah dalam satu perkataan (Mad Muttasil) atau dua perkataan (Mad Munfasil) adalah agak sukar dan iainya memrlukan kemahiran serta kebiasaan dalam membezakan antara kedua-duanya.

DIPANJANGKAN sebutan huruf Mad dengan kadar 4 atau 5 harakat

Contoh
  • ِنَّاۤ أَعۡطَیۡنَـٰكَ ٱلۡكَوۡثَرَ [Al Kauthar 1]
  • ٱنطَلِقُوۤا۟ إِلَىٰ [Al Mursalat 30]
  • فِیۤ أَحۡسَنِ تَقۡوِیمࣲ [At Tin 4]
  • عَلَىٰۤ أَكۡثَرِهِمۡ [Yasin 7]
  • قَوۡمࣰا مَّاۤ أُنذِرَ [ Yasin 6]
Kadar Harakat

Kadar panjang bacaan Mad Munfasil adalah 4 atau 5 harakat. Mad ini hanya berlaku pada menyambung bacaan (wasal) sahaja, kerana jika diberhentikan bacaan (waqaf) pada huruf mad itu maka ia kembali pada asalnya, iaitu mad Asli yang dibaca dua harakat sahaja.

Penamaan

Dinamakan mad ini munfasil (tercerai) kerana huruf mad dan hamzah itu tercerai atau terpisah pada dua perkataan yang berlainan.

Hukum Bacaan

Mad Munfasil adalah mad yang Jaiz iaitu harus hukum pemanjangannya. Ini kerana mad ini harus dibaca 4 atau5 harakat mengikut riwayat Imam Hafs ‘An Asim melalui aliran Imam As-Syatibiah. Aliran ini dikenali sebagai Tawasut al-Munfasil iaitu memanjangkan mad munfasil dengan kadar pertengahan iaitu 4 atau 5 harakat.

 

Tetapi mengikut riwayat Imam Hafs ‘An Asim melalui aliran Imam Al-Jazariah, mad munfasil ini harus dipanjangkan dengan 2 harakat. Aliran yang membaca dengan 2 harakat ini dikenali sebagai Qasr al-Munfasil bermaksud memanjangkan mad Munfasil dengan kadar 2 harakat sahaja yang tertakluk padanya beberapa syarat.

Oleh kerana ulama Qurra’ tidak sependapat dalam penentuan kadar pemanjangannya, maka ia dihukumkan sebagai Jaiz atau harus.