Penerangan Hukum + Contoh Bacaan dari Sheikh Mishary Rashid Al-Afasy
Contoh Bacaan dari Sheikh Mishary Rashid Al-Afasy

Perkataan mad muttasil bermaksud bersambung atau berhubung. Mad Muttasil dari segi istilah pula bermaksud huruf mad yang bertemu atau bersambung pada hamzah dalam satu perkataan yang sama.

Huruf mad dan hamzah itu ada yang bertemu di pertengahan perkataan dan ada yang bertemu di akhir perkataan.

Mad Muttasil boleh dikenal dengan melihat huruf mad yang diikuti selepasnya dengan hamzah dan mempunyai tanda panjang di atasnya.

DIPANJANGKAN sebutan huruf Mad dengan kadar 4 atau 5 harakat

Contoh
  • سَوَاءٌ [ Al Baqarah 6]
  • السُّفَهَاءُ [ Al Baqarah 13]
  • السَّمَاءِ [ Al Mulk 16]
  • مَّاءٍ [ At Tariq 6]
  • شَاءَ [ Al Baqarah 20]
Kadar Harakat

Kadar panjang bacaan mad muttasil itu berbeza pada keadaan wasal (di tengah) dan waqaf (di akhir) seperti berikut:

4 atau 5 harakat        : jika Wasal pada Hamzah

4, 5 atau 6 harakat    : jika Waqaf pada Hamzah

Penamaan

Dinamakan mad ini sebagai muttasil yang bermaksud bersambung kerana huruf mad dan hamzah itu bertemu atau bersambung dalam satu perkataan yang sama.

Hukum Bacaan

Mad muttasil adalah wajib hukum bacaannya. Ini adalah kerana wajib membaca mad ini dengan 4 atau 5 harakat di sisi Hafs.

Membaca dengan 2 harakat pada mad muttasil adalah dilarang kerana ada riwayat yang sahih menyatakan tentang larangan tersebut iaitu apa yang diriwayatkan oleh Imam Al-Jazari dengan sanadnya yang sahih lagi kuat hingga ke Ibnu Mas’ud r.a.